TAHUN BARU CINA
Tahun Baru Cina merupakan perayaan yang paling penting bagi kaum Cina . Pada hakikatnya , ia dirayakan oleh orang-orang Cina di seluruh dunia . Orang Cina menyambut Tahun Baru pada hari pertama dalam bulan pertama mengikut perkiraan kalendar Cina . Tahun Baru Cina biasanya jatuh pada di antara 21hb Januari hingga 20hb Februari , tahun Masihi .
Orang-orang Cina sangat mempercayai semangat , dewa-dewi , roh , hantu dan banyak tuhan . Mereka memuja dan mengadakan acara-acara menyembah sesuai dengan kepercayaan -kepercayaan mereka . Perayaan Tahun Baru Cina ini bermula pada 24hb Bulan ke-12 kalendar Cina , apabila tuhan dapur ( tuhan yang sangat popular di kalangan orang Cina) dihantar ke syurga . Di syurga , tuhan ini akan membuat laporan kepada Maharaja Jade tentang keadaan setiap rumah dalam sepanjang masa di tahun lalu. Sejenis kuih , 'nian gao' , yang diperbuat daripada pulut dan berasa manis dipersembahkan kepada tuhan tersebut sebagai hadiah perpisahan . Ini diharapkan agar di syurga nanti tuhan itu akan terkunci mulutnya dengan kelekitan pulut tersebut dan jika tidak pun ia akan memberi laporan yang baik-baik kerana kemanisan kuih tersebut .
LAGENDA MENGENAI ASAL-USUL PERAYAAN TAHUN BARU CINA
Pada zaman dahulu , orang Cina hidup secara sederhana sekali . Pakaian mereka dibuat daripada kulit-kulit binatang sahaja. Mereka memakan makanan yang mudah . Mereka bebas dan merasa sangat berpuas hati . Kemudian mereka menetap pula di suatu dataran di lembah Sungai Kuning yang kaya dengan hasil tanaman . Lalu mereka pun membuka sebuah kampung dan membentuk sebuah masyarakat . Mereka hidup dalam aman damai .
Tetapi , pada suatu malam yang dingin, mereka telah diserang oleh raksasa misteri . Ia telah mengorbankan beberapa jiwa dan juga harta-benda orang-orang kampung . Pada hari berikutnya penduduk kampung mengadakan mesyuarat. Langkah-langkah berjaga-jaga pun diambil bagi mengelakkan serangan yang kedua .
Hari berganti , minggu berlalu . Tiada apa yang terjadi dan orang-orang kampung pun mula melupakan peristiwa itu . Tetapi , dengan tiba-tiba raksasa itu menyerang lagi . Kali ini melibatkan lebih banyak korban dan harta-benda . Mesyuarat kedua pu diadakan . Langkah berjaga-jaga dilipatgandakan . Sekali lagi tiada apa yang berlaku dan orang kampung pun melupakan lagi peristiwa itu.
Serangan yang ketiga berlaku dengan lebih dahsyat lagi . Pasukan penyiasat pun dikerah dan nasihat dari semua tempat pu n dicari. Akhirnya seorang yang bijaksana memberitahu orang kampung bahawa raksasa misteri yang ditakuti itu akan mengulangi serangannya selepas matahari muncul sebanyak 365 kali . Ia mudah disingkirkan jika mereka mengambil langkah-langkah mempertahankan diri .
Lalu mereka bermesyuarat lagi . Arahan-arahan dikeluarkan dan orang-orang bijak pandai dikerahkan mengumpulkan maklumat mengenai raksasa itu . Maka didapati bahawa raksasa itu hanya takut kepada tiga perkara iaitu bunyi bising , cahaya yang terang dan warna merah . Raksasa itu diberi nama 'nian' yang beerti 'tahun'.
Jadi pada petang hari ke-365 , segala persiapan pun dibuat . Kesemua orang kampung telah bersiap sedia dengan senjata masing-masing . Rumah-rumah diterangi dengan cahaya -cahaya api dan semua barang -barang diwarnakan dengan warna merah . Bunyi bising dibuat sepanjang malam . Tahun itu berlalu tanpa serangan raksasa . Kegelisahan orang kampung pun reda .
Fajar menyingsing . Setiap penduduk tersenyum gembira . Suara-suara ucap selamat dan tahniah kedengaran . Raksasa itu benar-benar mengasihani mereka . Lalu perayaan pun diadakan .
Kemudian orang-orang tua yang dihormati mencadangkan agar majlis kesyukuran diadakan secara tetap pada setiap petang hari ke-365.