Perayaan ini adalah merupakan suatu perayaan di dalam musim menuai yang biasanya disambut dalam lingkungan dua minggu selepas atau sebelum 23hb September pada tiap-tiap tahun. Ia bersamaan dengan 15hb bulan ke-8 kalendar Cina .
Pada hakikatnya , perayaan ini ialah bagi petani-petani pada zaman dahulu tetapi , masih disambut dan dirayakan lagi sehingga masa ini oleh orang-orang Cina di negara kita , meskipun musimnya tidak ada kena-mengena dengan musim menuai di Malaysia .
Kuih bulan yang berbentuk bulat yang merupakan sebagai bulan , berintikan pes kacang , biji teratai , telur , daging babi dan sebagainya . Di atasnya diterap dengan tulisan Cina bermakna bulan beserta rupa tuhan bulan itu sendiri . Ia disediakan untuk menyambut perayaan ini dan kuih itu untuk dipersembahkan kepada tuhan bulan .
LAGENDA MENGENAI PERAYAAN KUIH BULAN
Perayaan ini bermula apabila seorang Jeneral keturunan Han mengetuai suatu revolusi menentang regim Mongul (Dinasti Yuan) . Di dalam rancangan menggulingkan kerajaan Mongol itu , mereka menggunakan kuih bulan sebagai alat komunikasi . Kerajaan tidak dapat mengesyaki perbuatan ini kerana kuih tersebut senang dibawa dan boleh dimakan dengan bebasnya . Orang-orang Han menyelitkan surat-surat yang mengandungi arahan-arahan di dalam kuih ini dalam masa kuih-muih ini dibuat secara besar-besaran . Kemudian ia dibahagi-bahagikan kepada orang-orang Han . Dan apabila mereka membelah kuih-kuih tersebut , mereka dapat arahan - arahan untuk melancarkan revolusi. Lalu mereka pu mempersiapkan diri . Pada masa yang ditetapkan mereka pun melancarkan revolusi yang memeranjatkan kerajaan Mongul . Mereka berjaya dan ketika itu juga bermulanya pemerintahan Dinasti Ming .
Perayaan ini juga dinamakan Perayaan Tanglong kerana selepas bersembahyang , kanak-kanak bermain-main dengan tanglong . Tanglong ini berbentuk binatang seperti arnab , serangga , burung , rama-rama , bunga dan ikan . Ada juga yang berbentuk kapal terbang , helikopter , kereta dan sebagainya sesuai mengikut selera masa sekarang .
Meskipun perayaan ini adalah untuk petani-petani tetapi terdapat juga kepercayaan bagi menghormati dan menyembah bulan terutama bagi kaum wanita yang ada hubungannya dengan dewi kecantikan . Dikatakan juga bahawa pada malam hari ini bulan bersinar dengan lebih terang lagi daripada hari-hari biasa .