HARI VESAK
Hari Vesak adalah suatu perayaan yang paling penting bagi penganut agama Buddha . Ia dianggap sebagai hari yang paling mulia sekali . Ia disambut pada hari kelima belas waktu bulan naik , bulan keenam mengikut kiraan bulan Thai bersamaan dengan bulan Mei .
Hari Vesak menandakan tiga hari terpenting dalam riwayat hidup 'Lord Buddha' . Pertama , pada hari itu , Buddha dilahirkan di Kebun Lumbini dalam negara purba Kapilavastu (dekat sempadan Nepal sekarang ). Kedua, pada hari yang sama , tiga puluh lima tahun kemudian , Buddha mencapai kemantapan fikiran , 'satsaru'. Ini adalah hasil usaha beliau bertapa untuk mencari jalan mengatasi kesusahan di dunia . Ketiga , pada Hari Vesak juga beliau menempuh 'Nirwana' atau kemangkatannya dan 'diangkatkan' ia ke syurga . Ketika itu beliau berumur 80 tahun .
SIAPAKAH LORD BUDDHA?
Pengasas agama Buddha ialah Siddharta Gautama . Beliau dilahirkan pada hari Vesak tahun Masihi 623 . bapa Siddharta ialah Raja Suddhodana dan ibunya ialah Permaisuri Maya . Ketika beliau dilahirkan , masyarakat India sedang kuat mengamalkan sistem kasta . Sistem ini membezakan taraf kedudukan setiap rakyat .
Sebagai seorang anak raja , Siddharta dipelihara dengan baik dan hidup dalam kemewahan . Beliau mendapat pelajaran yang sebaik-baiknya . Walau bagaimanapun Siddharta selalu memikirkan sesuatu dan amat bertimbang rasa .
Dalam usia dua puluh sembilan tahun , beliau sedar akan ketidakekalan hidup dan keangkuhan manusia dengan harta benda . Lalu , beliau membuat keputusan untuk mencari kebenaran dan keamanan . Ini dilakukan kerana perasaan kasihan di atas penderitaan orang lain . Selama enam tahun beliau berusaha mendisiplinkan dirinya . Pada suatu hari ketika duduk di bawah pokok suci 'bodhi' di Buddha Gaya , Siddharta bersumpah kepada dirinya sendiri bahawa beliau tidak akan bergerak dari tempat duduknya sehingga beliau mencapai taraf yang paling tinggi dalam Buddha .
Pada Hari Vesak tahun 588 masihi , beliau telah mencapai 'Sammasambhodi' (kemantapan fikiran , bebas dari kejahilan ) . Ketika itu , umur beliau ialah 35 tahun . Selepas itu beliau dikenali sebagai Gautama Buddha . Lalu beliau pun menyebarkan pengetahuan untuk membebaskan orang lain dari kejahilan . Beliau berbuat demikian tanpa henti-henti sehinggalah pada Hari Vesak 2,600 tahun yang lalu . pada hari itu , beliau telah mencapai 'Maha Parinibbana' (rehat yang sempurna) apabila beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir .
Perayaan Hari Vesak disambut secara besar-besaran di semua 'wat' atau rumah berhala Buddha di seliruh negara . Mereka bersembahyang , membaca ayat-ayat ajaran agama Buddha dan memuja-muja Buddha . Syarahan - syarahan agama juga diadakan sepanjang Hari Vesak itu . Ia dianggap sebagai perayaan keagamaan sahaja kerana tidak ada kunjung mengunjung yang dilakukan .
Pada sebelah malam , diadakan perarakan beramai-ramai dengan membawa lilin , gaharu serta bunga-bungaan mengelilingi 'bot' iaitu bangunan utama tempat sembahyang di dalam wat itu sebanyak tiga kali . Tiap-tiap pusingan melambangkan salah satu daripada tiga peristiwa yang telah disebutkan di atas .