SELAMAT MENYAMBUT HARI DEEPAVALI
Masyarakat India meraikan perayaan Hari Deepavali atau dikenali juga dengan nama pesta cahaya . Mengikut putaran 12 bulan , Deepavali akan muncul setiap kali masuk bulan yang dikenali sebagai Aipasi . Biasanya perayaan setahun sekali ini disambut pada penghujung Oktober atau awal November . Seperti kemeriahan lain , masyarakat India juga turut membuat persiapan bagi menyambut perayaan ini . Bagi penganut Hindu , sambutan Deepavali kurang serinya kalau kediaman mereka tidak dihiasai dengan 'kolam'. Kolam atau dikenali juga sebagai Rangoli adalah satu seni hiasan pintu masuk kediaman semasa Deepavali . Ia dihasilkan dengan pelbagai rekaan , berwarna-warni dan tanpa ada had dari segi saiz . Bahkan berdasarkan catatan sehingga 2009 , 'kolam' terbesar di dunia yang pernah dihasilkan ialah pada 22 Mei 2008 bersaiz 4,900 meter persegi dan dihasilkan oleh Nilesh Rajaram Naik di Dataran Murda , Tiswadi , Goa , India . Biasanya , saiz 'kolam' di rumah agak kecil namun 'kolam' memberi kuasa besar dalam menyambut Deepavali mengikut kepercayaan Hindu . Malah , kolam juga umpama 'tiang seri' yang bertindak memeriahkan lagi perayaan cahaya itu . Kebiasaannya , 'kolam' diperbuat daripada taburan bijirin seperti beras yang dimasukkan sedikit air serta diwarnakan dengan pelbagai warna menarik . Selain beras , 'kolam' juga boleh dihasilkan dengan tepung gandum , sagu dan hampas kelapa . Menurut lagenda , hiasan 'kolam' ini merupakan lambang penyembahan Dewa Lakshimi , dewa kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang mempunyai hiasan 'kolam' di pintu masuk rumah mereka .
SUMBER:
UTUSAN MALAYSIA
GURU MEDIA
SK KAMPONG MELAYU