ZAPIN DAYUNG
Zapin Dayung ini berasal dari Kampung Bahagia , Bt.1 , Jalan Kluang , Air Hitam , Johor . Zapin Dayung telah diasaskan dan dikembangkan ke Kampung Bahagia oleh Allahyarham Tuan Haji Arshad bin Md Isa yang berasal dari Parit Bilah , Batu Pahat , Johor .
Di Kampung Bahagia , beliau telah menunjuk ajar dan mengembangkan ragam zapin ini kepada para belia di kampung tersebut termasuklah anak beliau sendiri . Antara anak didik beliau yang masih mengingat dan boleh berzapin dengan baik ialah Tuan Haji Surif bin Sulaiman , Tuan Haji Muharam bin Parlie dan anak kandung beliau sendiri , Ismail bin Haji Arshad . Zapin Dayung ini yang langkahnya berasaskan langkah silat terdiri daripada Langkah Asas , Separuh ( langkah 2 ) , Ceduk(ceduk separuh untuk wanita) dan Tengteng (minta lalu).
Lagu-lagu yang lazimnya dimainkan untuk mengiringi permainan Zapin Duyung ini adalah lagu Puteri Ledang , Anak Ayam dan Lancang Kuning . Pukulan marwas tarian ini terbahagi kepada 3 jenis pukulan iaitu Pukulan Menganak , Meningkah dan Menyelalu . Pada awal perkembangannya , zapin ini ditarikan oleh penari lelaki sahaja ; namun pada akhir tahun 60-an dan awal tahun 70-an , penari wanita turut sama - sama berzapin dalam kumpulan Zapin Dayung ini .