ADAT RESAM
LAWATAN DAN KUNJUNGAN
KAUM MELAYU
Dikalangan masyarakat Melayu , seperti juga beberapa masyarakat lain , kunjung-mengunjungi atau lawat melawat secara biasa adalah digalakkan , terutama antara jiran tetangga dan sahabat handai .
Bagi pelawat beragama Islam , apabila sampai ke rumah yang dikunjungi , eloklah ia memberi salam dengan berkata 'Assalamualaikum'.
Bagi pelawat yang bukan Islam pula , semasa tiba di rumah yang dikunjungi , eloklah ia menyeru nama tuan rumah dengan cara yang sopan seperti 'Encik Ahmad!' dan sebagainya .
Sebelum masuk ke dalam rumah , pelawat hendaklah menanggalkan kasutnya di muka pintu atau di pangkal tangga kecuali tuan rumah membenarkan ia masuk dengan berkasut .
Jika pada masa tetamu itu masuk , didapatinya telah ada beberapa orang lain dalam rumah itu dan ia terpaksa lalu di hadapan mereka , maka eloklah tetamu itu menundukkan sedikit kepalanya dan membongkokkan sedikit badannya , memberi hormat dan berkata ,'Maafkan saya , tumpang lalu ' sambil berjalan pergi ke tempat duduk yang sesuai .
Aalah dianggap kurang sopan apabila seseorang itu duduk di kerusi bersilang kaki hingga nampak tapak kaki atau tapak kasutnya terutamanya jika berhadapan dengan orang-orang tua .
Jika duduk di atas lantai atau hamparan , orang lelaki lazimnya duduk bersila . Bagi orang perempuan pula , mereka lebih manis duduk bersimpuh . Adalah kurang sopan jika kita duduk berlunjur .
Apabila tuan rumah menghidangkan sedikit jamuan , pihak tetamu tidaklah patut menolaknya . Kalau pun ia sudah kenyang , ia hendaklah merasa sedikit hidangan yang disajikan .
Biasanya , orang Melayu tidak begitu gemar menerima tetamu pada waktu senja kerana masa itu , waktu sembahyang maghrib . Sekiranya tetamu berhajat juga hendak berkunjung pada waktu malam , eloklah dilakukan selepas waktu sembahyang isyak iaitu kira-kira 8.30 malam .
SUMBER:
RESAM MUHIBBAH MASYARAKAT MALAYSIA
LEMBAGA PERPADUAN MALAYSIA
JABATAN PERDANA MENTERI