ADAT RESAM
LAWATAN DAN KUNJUNGAN
MASYARAKAT ASLI
Dikalangan masyarakat Orang Asli , seperti juga masyarakat lain , kunjung-mengunjung atau lawat melawat adalah satu perkara biasa dan amat digalakkan , terutama antara jiran tetangga , saudara mara dan sahabat handai .
Lawat melawat secara biasa lebih disukai sekiranya dibuat diwaktu petang , kerana pada siang hari , mereka selalunya sibuk dengan kerja masing-masing .
Apabila sampai di rumah yang dilawati , seseorang tetamu itu , eloklah menunggu ditepi rumah dan membuat-buat batuk supaya didengari oleh tuan rumah . Panggilan lazimnya dibuat dengan memanggil nama anak sulung tuan rumah itu . Sekiranya anak sulung tuan rumah itu bernama 'Alang' , maka panggilan bolehlah dibuat seperti '....Bapak Si Alang ada di rumahkah ?'
Petang dan malam adalah waktu untuk berehat dan bersukaria . Di masa ini , tidak ada halangan bagi kawan - kawan dan kenalan lain datang ke rumah . Sekiranya tetamu sampai ketika tuan rumah sedang makan , maka lebih disukai jika tetamu turut makan bersama dengan tuan rumah . Adalah dianggap kurang sopan jika tetamu menolak jamuan yang dihidangkan oleh tuan rumah . Masyarakat Orang Asli sangat suka sekiranya tetamu mereka sudi menikmati jamuan yang dihidangkan , walaupun sedikit .
Lawatan dan kunjungan ini selalunya ialah untuk berbual-bual , bercerita atau mendengar kisah-kisah lama , ingatan manis dan peristiwa yang menarik . Kadangkala , masa seperti ini juga digunakan untuk menuntut ilmu jampi serapah .
Selain dari lawatan dan kunjungan biasa , masyarakat Orang Asli juga menggalakkan kunjungan pada hari tertentu seperti:
1) waktu penduduk sesebuah kampung mengadakan kenduri .
2) musim buah-buahan
3) musim menuai
4) waktu perayaan khas seperti 'buka pantang' , 'bersunat' dan lain-lain .
Dalam pada itu , banyak juga masa yang tidak digalakkan berkunjung , malahan tidak dibenarkan langsung . Masa yang tidak sesuai itu adalah seperti berikut :
1) Sebelu istiadat menuai dirasmikan .
- dipercayai sekiranya 'orang luar' datang semasa ini , maka 'semangat padi' akan marah.
2) Orang ramai dan orang luar tidak dibenarkan naik ke sesebuah rumah di mana 'tarian sewang' sedang dijalankan . Sementara itu , orang-orang di atas rumah tidak dibenarkan turun sehingga 'tarian sewang' itu selesai .
3) Orang luar dilarang masuk ke sesebuah kampung yang sedang menjalankan istiadat 'puja kampung'. Ini disebabkan , ditakuti hantu - hantu akan mengikut masuk dengan mereka .
4) Orang luar dilarang datang sekiranya ada penghuni rumah yang sedang sakit tenat .
- dipercayai takut tetamu membawa hantu dan penyakit baru .
Pada amnya , ada isyarat - isyarat yang menunjukkan samada seseorang itu boleh atau tidak mengunjungi rumah yang dituju . Jika sekiranya terdapat daun-daun tergantung di muka pintu dan di dalam rumahnya pula dipenuhi dengan berbagai-bagai jenis daun , maka rumah tersebut tidaklah boleh dilawati .
SUMBER:
RESAM MUHIBBAH MASYARAKAT MALAYSIA
LEMBAGA PERPADUAN MALAYSIA
JABATAN PERDANA MENTERI