ADAT RESAM
LAWATAN DAN KUNJUNGAN
KAUM INDIA
Dikalangankaum India , seperti juga kaum Melayu dan Cina , kunjung mengunjungi digalakkan antara saudara mara , jiran tetangga dan sahabat handai . Lazimnya , kunjung mengunjungi dilakukan pada hari-hari perayaan , berpindah rumah , kepulangan atau kepergian saudara atau sahabat dari luar negeri , kelahiran anak , sakit atau kematian dan untuk mengucap tahniah atas sesuatu kejayaan .
Sesuatu kunjungan itu seelok-eloknya dilakukan pada hari dan masa yang sesuai . Misalnya , jika membuat kunjungan bagi kali yang pertama dalam masa perayaan , atau mengunjungi rumah orang yang baru berpindah , janganlah berbuat demikian pada hari Ahad atau Selasa atau Khamis kerana hari-hari itu dianggap kurang baik .
Kunjungan untuk mengutip atau memberi wang tidak begitu elok dilakukan waktu sebelah malam . Kunjungan seperti ini tidak sesuai langsung pada hari Jumaat .
Semasa memberi salam , kaum India mengamalkan berbagai cara, tetapi cara yang biasa ialah merapatkan kedua tapak tangan dan mengangkatnya hingga ke dada sambil mengucapkan kata-kata seperti 'vanakkam'(Tamil) , 'namasthe'(Hindi) dan 'sastrigal'(Sikh) . Salam ini disertakan dengan kata-kata atau pertanyaan mengenai kesihatan , keadaan keluarga , pekerjaan , perniagaan dan sebagainya .
Sebelum masuk ke dalam rumah , kasut hendaklah dibuka dan ditinggalkan di luar pintu .
Jika tuan rumah menghidangkan minuman dan kuih muih , adalah kurang manis bagi pelawat menolaknya tanpa sebab yang munasabah . Ia hendaklah sekurang-kurangnya menjamah sedikit .
Apabila benda diberi atau diterima , pemberi atau pun penerima hendaklah menggunakan tangan kanan .
Apabila pelawat hendak meninggalkan rumah , kata-kata seperti 'saya pergi' hendaklah dielakkan , kerana ini diertikan seolah-olah pelawat itu tidak ingin datang ke rumah itu lagi . Yang baiknya ialah pelawat mengatakan 'saya akan datang lagi' waktu hendak meninggalkan rumah itu . Biasanya tuan rumah mengiringi pelawat sampai keluar halaman rumah dan mengucap ,'Selamat jalan dan datang lagi' sambil merapatkan kedua belah tapak tangan dan mengangkatnya ke dada .
SUMBER:
RESAM MUHIBBAH MASYARAKAT MALAYSIA
LEMBAGA PERPADUAN MALAYSIA
JABATAN PERDANA MENTERI